~ tentang kami

My photo
Sepang, Selangor, Malaysia
~ perbezaan antara mereka yang berjaya dengan yang lain bukanlah kerana kekurangan kekuatan atau ilmu, tetapi lebih kepada kekurangan kesungguhan dan kemahuan..

Sunday 27 January 2013

~ sharing is caring ^^ : tersedak susu??


Kes bayi tersedak susu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Malah lebih menyedihkan apabila ia melibatkan kematian.
Terbaru, kes Siti Nur Balkis Ahmad Zahir berusia tujuh bulan, yang dipercayai tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis, di bawah jagaan ibunya sendiri.
Biarpun ia sebagai kes yang terpencil, namun tidak boleh dipandang ringan kerana risiko kelalaian tidak mengira sama ada dilakukan oleh pihak pengasuh mahupun ibu bapa bakal meragut nyawa.
Bagi yang tidak mengetahui puncanya, agak pelik bila mendengar bayi tersedak susu boleh menyebabkan kematian sedangkan susu hanyalah sejenis cecair.
Gambar : Blog
Pakar Diet Pemakanan, Norul Hazliza Sham Hashim berkata, insiden lemas susu biasanya terjadi kerana kedudukan dan posisi bayi yang tidak betul ketika menyusu botol.
"Keadaan itu menyebabkan susu tersebut akan memasuki paru-paru dan dalam masa yang sama akan menghalang saluran pernafasan lalu menyebabkan bayi tersedak dan lemas,'' ujarnya.
Malah lebih parah, sekiranya keadaan itu berlaku apabila bayi itu memegang sendiri botol yang menyebabkan dia tersedak.
Tambah beliau, keadaan itu juga akan menyebabkan bayi dijangkiti bakteria dan memberikan kesan kepadanya.
Bagaimana pun dalam masa yang sama, masalah injap yang tidak matang juga merupakan faktor berlaku bayi tersedak susu.
Keadaan itu terang beliau berlaku sekiranya bayi tersebut berusia empat bulan ke bawah dan berada dalam keadaan terbaring.
Bagaimanapun ia berbeza dengan situasi anak-anak yang berusia empat bulan ke atas di mana mereka boleh minum susu dalam keadaan duduk .
Kata Haliza lagi, sebagai pengasuh atau ibu bapa, amalan meletakkan kain atau bantal untuk menyokong botol susu ketika bayi menyusu adalah sangat tidak baik kerana ia boleh meningkatkan risiko insiden.
"Sebaiknya cuba letakkan kepala bayi lebih tinggi dari perutnya manakala botol susu pula perlu dipegang dalam kedudukan tidak lebih 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak dan menyebabkan bayi lemas.
"Keadaan ini mengelakkan bayi termuntah semasa sedang menyusu dan muntah tersebut akan memasuki hidung dan mengganggu laluan pernafasan mereka,'' katanya.
Kebiasaannya apabila susu termasuk ke dalam paru-paru, seorang bayi akan tersedak atau batuk. Tindakan refleks itu sebenarnya adalah satu mekanisme perlindungan untuk bayi tersebut.
Beliau berkata, walaupun bayi tersedak susu dalam jumlah yang amat sedikit, ia sudah cukup untuk melemaskan mereka.
"Sebab itu, elakkan bayi meminum susu dalam keadaan terlentang sebaiknya pangku bayi dalam keadaan kepalanya lebih tinggi dari perutnya bagi tujuan memudahkan penghadaman,''kata Haliza.
Begitupun, cara terbaik untuk mengelak bayi tersedak atau lemas susu ialah dengan memberi susu badan.
Ini kerana katanya, apabila menyusu badan, susu hanya akan keluar apabila bayi menyedut sahaja.
"Jadi apabila bayi tertidur ketika menyusu badan, susu tidak akan mengalir dan mengurangkan risiko tercekik susu," jelas beliau.
Keadaan itu, jelas beliau berbeza dengan susu formula yang akan sentiasa mengalir dari botol dan melambatkan proses penghadaman.
Tambahnya, selepas setiap kali penyusuan pastikan bayi disendawakan, keadaan ini penting supaya angin keluar dan memastikan bayi tidak muntah ketika tidur.
"Letakkan bayi di bahu dan urut belakang badannya dengan perlahan, keadaan ini memudahkan bayi sendawa dan sekali gus melegakan bayi tersebut dan juga mengelakkan daripada si bayi termuntah," kata Haliza.
Beliau berkata, ibu bapa boleh mempraktikkan beberapa kaedah untuk memastikan bayi sendawa. Antaranya tiarapkan bayi dengan meletakkan perutnya di atas lutut dan gosok belakangnya dengan lembut sambil menghayun atau mengenjut lutut secara perlahan-lahan.
"Ibu juga boleh mencuba kaedah dengan menelentangkan bayi, angkat ke hadapan dan ke belakang seperti mengayuh basikal sehingga lututnya rapat ke perut,'' ujarnya lagi.
Akhir sekali tuam atau tekap perut bayi dengan kain hangat atau botol yang mengandungi air suam bagi mengelakkan si kecil mendapat kembung perut.
Tip Berguna
Cara rawatan sekiranya tersedak susu
Tiarapkan bayi kemudian tepuk belakang bayi beberapa kali sehingga cecair atau bahan makanan yang menyekat saluran pernafasan keluar.
Dalam keadaan duduk menghadap kehadapan tekan bahagian dada dengan menggunakan hujung genggaman tangan secara perlahan.
Tekan bahagian perut bayi, kemudian tekan dan picit bahagian dada beberapa kali menggunakan kedua-dua ibu jari sehingga bayi dapat bernafas semula.

~ sharing is caring ^^ : anak menangis?..apa yang harus saya lakukan?

Anak saya sedang menangis - apa harus saya lakukan?

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda.

Selimutkan dia dan peluk dengan rapi
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibubapa, atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan. Bayi lain mendapati bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.

Dapatkan ritma yang teratur
Dalam rahim, bayi anda boleh kedengaran denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, lain bunyi yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibubapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh kain yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang akan menidurkan dia dalam sedikit masa. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain - bila-bila masapun, letakkan dia atas lantai berdekatan dengan mesin itu.)

Buai-buaikan bayi
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan, dan anda akan mendapati bahawa bayi anda akan bertenang akibatnya, samada anda berjalan-jalan sambil menghayunkan dia atau duduk dengannya atas kerusi goyang. Buaian khas bayi boleh menenangkan setengah bayi, tetapi bayi lain lebih selesa dengan keadaan yang lebih pantas dan akan tidur sebaik saja mereka dibawa berjalan dalam kereta.

Cubakan urutan
Memberi bayi anda urutan atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkan dia. Jika dia ternampak seakan-akan kesakitan disebabkan angin, cuba menyusukan dia dalam posisi tegak dan menepuk dia selepas penyusuan dengan menyandarkan dia di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadangkala terasa reda jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas.

Biarkan dia menghisap sesuatu
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan ketenangan yang banyak. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.

Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stres dan kebimbangan bagi ibubapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira berada di sini dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan dia atau menenangkan dia, ini akan menyebabkan anda merasa tidak disayangi selain kecewa. Ibubapa sering menyalahkan diri sendiri, merasakan yang ketidakcekapan mereka sebagai ibibapalah yang menyebabkan tangisan itu, tetapi ini bukan hakikatnya. Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi, dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segalanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak terasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:

• Tarik nafas panjang.

• Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.

• Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakslah sendiri untuk 10 minit.

• Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.

• Berbincanglah dengan doktor dan kumpulan sokongan dan kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi pengalaman dan berbincang dengan lain-lain ibu dan bapa cara menangani tangisan itu.

• Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan.

• Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan menunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Dengan perlahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.

~ sharing is caring ^^ : apakah itu puting kosong??


  • Apakah itu puting kosong?
    Dahulunya alat penenang adalah alat yang memberi bayi sesuatu yang selamat untuk dihisap, seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung. Hari ini, puting kosong diperbuat dari silikon atau getah yang standard, dengan pengadang mulut yang diperbuat dari plastik atau silikon bersama pemegangnya. Puting lateks adalah lebih lembut dan fleksibel dari silikon, tetapi ianya tak tahan lama. Puting moden adalah selamat untuk digunakan, senang untuk disteril dan pengadang mulut puting mencegah bayi dari tercekik atau menelan puting itu.
    Anda boleh membeli puting kosong secara berasingan, atau anda mungkin mendapat puting kosong percuma apabila membeli satu set botol-botol susu. Puting ortodontik dibentuk untuk menggalakkan bayi menghisap sama cara seperti menyusu badan (lihat Keburukan Penggunaan Puting di bawah untuk maklumat lanjut tentang kesihatan gigi dan puting).




      • Faedah menggunakan puting
        Faedah utama untuk ibubapa ialah puting boleh menyamankan bayi mereka atau membantu untuk menenangkan sampai tidur. Menghisap puting kosong boleh mengurangkan sakit, dan inilah sebabnya ibubapa sering memberi bayi mereka alat penenang apabila mereka diserang kolik. Baru-baru ini penggunaan puting telah dikaitkan dengan sesuatu yang boleh mencegah kematian kot.
        Menghisap puting boleh membantu setengah bayi pramatang. Jika mereka diberikan puting kosong untuk dihisap sebelum minum susu, mereka mungkin boleh beralih dengan lebih senang dari makan melalui tiub kepada penyusuan botol, dan akan meminum susu dari botol secara lebih efektif. Penggunaan puting kosong juga mengurangkan tempoh berada di hospital untuk bayi pramatang. Bayi pramatang yang diberi puting kosong sebelum menyusu menjadi lebih selesa dan tenang semasa disusukan dan selepasnya.
        Namun begitu, seorang ibu yang mahu menyusu badan mungkin lebih suka menggalakkan bayi untuk menguatkan daya hisapnya pada tetek ibu yang dikosongkan daripada diberikan puting kosong - lihat artikel kami tentang menyusu badan bayi pramatang anda.
        Keburukan penggunaan puting
        • Infeksi telinga meningkat
        Ada kaitan yang terbukti mengenai penggunaan puting untuk jangka masa panjang dan infeksi telinga tengah. Adalah disangkakan bahawa menghisap puting kosong menambah kemungkinan infeksi berpindah dari mulut ke tiub Eustachia (saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak). Hadkan penggunaan puting untuk tidur sahaja, untuk mengelakkan masalah seperti ini.
        • Kaitan dengan infeksi perut dan lain-lain
        Puting kosong telah dikaitkan dengan risiko tinggi mendapat simptom seperti muntah-muntah, demam, diarea (cirit-birit) dan kolik.
        • Penggunaan puting kosong secara jangka panjang menyebabkan masalah gigi
        Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kosong atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar, terutama sekali jika bayi masih menggunakan puting sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.
        • Masalah pertuturan
        Penggunaan puting kosong tidak membolehkan bayi membebel, yang merupakan langkah penting dalam mereka belajar bertutur, dan juga tidak menggalakkan bayi bertatih berceloteh, yang diperlukan mereka untuk membina kemahiran bahasa.
        • Menggunakan puting kosong secara harian mengganggu penyusuan badan 
        Ada bukti kuat bahawa wanita yang menggunakan puting kosong lebih cenderung untuk mencerai susu lebih awal daripada ibu-ibu yang menyusu badan yang tidak menggunakan puting kosong secara harian. Penggunaan puting kosong telah dikaitkan dengan masa yang lebih singkat bagi penyusuan badan secara ekslusif dan juga kekurangan susu semasa bayi berusia satu bulan.
        Samada penggunaan puting kosong menyebabkan wanita menghentikan penyusuan badan adalah perkara yang penuh kontroversi. Ada yang mengatakan bahawa ibu menggunakan puting kosong sebab mereka mempunyai masalah menyusu badan atau sebab mereka sebenarnya tidak mahu menyusu badan. Yang lain percaya bahawa adalah sukar bagi setengah bayi beralih dari menghisap puting-puting tiruan kepada menghisap puting tetek ibu - kadangkala diberi nama keliru puting. Yang lain mengatakan bahawa menghisap puting dan bukan tetek kurang meransangkan payudara untuk mengeluarkan prolaktin, yang kemudiannya menyebabkan penurunan bekalan susu. Wanita yang menghentikan penyusuan badan semasa enam bulan pertama selalunya memberikan faktor "kekurangan susu" sebagai sebab mereka berhenti.
        Apa juapun sebabnya, penggunaan puting kosong secara harian telah dikaitkan dengan penghentian penyusuan badan sebelum bayi berusia tiga bulan. Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dengan tegas tidak menggalakkan penggunaan puting kosong dalam tempoh penyusuan badan hendak dimantapkan. Ini adalah usaha untuk cuba menyokong ibu supaya menyusu badan secara eksklusif untuk enam bulan pertama sebab faedah penyusuan badan yang banyak.